Saturday, May 23, 2009

Al Fatihah buat Allahyarham Ismail Yaacob

KUALA KRAI 22 Mei (Utusan Malaysia) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi ini selepas dirawat di hospital berkenaan sejak hujung bulan lepas.

Ismail yang lebih dikenali sebagai 'Pak Su We'a' di kalangan penduduk kawasan berkenaan menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan dua orang anaknya kira-kira pukul 5.55 pagi selepas menderita sakit jantung dan kencing manis dan darah tinggi.

Isteri Allahyarham, Siti Zaharah Ibrahim, 58, berkata, sejak empat tahun lalu, suaminya sering berulang-alik ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

Kata beliau, suaminya dirawat di wad hospital itu kira-kira sebulan lalu apabila penyakit yang dihidapinya semakin teruk sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong pada minggu lepas.

"Sebelum ini, arwah pernah berkata kepada saya bahawa beliau amat berharap untuk menjalankan tugasnya sebagai ADUN sehingga habis penggal ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.

"Saya bersedia dan reda menerima kenyataan ini kerana allahyarham telah menderita sakit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 11 orang anak, lima perempuan serta enam lelaki berusia antara 17 sehingga 35 tahun.

Jenazah allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengimamkan solat jenazah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Nassaruddin Daud; Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah.

Ismail yang mewakili Pas memenangi kerusi DUN Manek Urai sejak pilihan raya umum pada tahun 1986.

Beliau merupakan ADUN yang paling lama berkhidmat di negeri ini selepas Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan untuk kerusi tersebut, sebaliknya diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim yang tewas kepada wakil BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai telah dipilih semula untuk mewakili Pas di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-12.

Allahyarham yang memperoleh 5,746 undi menewaskan Mohamed Zulkifli yang memperoleh 4,394 undi.

Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut mempunyai DUN Dabong, Guchil dan Mengkembang



No comments:

Post a Comment